.: TOKOH: USTAZ MUSTAFA MASYHUR

Saturday, May 06, 2006

Photobucket - Video and Image Hosting

TOKOH: USTAZ MUSTAFA MASYHUR

PENDAHULUAN
Bulan November menyaksikan ramai tokoh gerakan Islam meninggal dunia. Lebih kurang 70 tahun yang lalu, bumi Palestin menyaksikan Syeikh Izzuddin Al Qassam dibunuh syahid oleh penjajah Britain.
Pada 1985, Ustaz Ibrahim Libya dan 13 anak muridnya dibunuh di Kampung Memali. Empat tahun kemudian (1989) Dr Abdullah Azzam pula di bunuh syahid di Peshawar, Pakistan. Semua ini berlaku pada bulan November.
Tetapi kematian tokoh Islam ini agak berbeza dengan tokoh-tokoh sebelumnya. Ini kerana tokoh ini menghembuskan nafasnya dalam bulan November yang juga bulan Ramadhan yang penuh barakah. Lebih dari itu, tokoh ini meninggal dunia ketika umat Islam sedang bersiap-siap untuk mempertingkatkan ibadat di malam Jumaat.
Jika orang lain meninggalkan wasiat berkaitan harta kepada anak-anak, maka tokoh ini sempat menulis wasiat kepada seluruh umat Islam supaya berjuang membebaskan Baitul Maqdis dan Palestin daripada penjajahan Yahudi.
Tokoh yang dimaksudkan ini ialah Ustaz Mustafa Masyhur, Mursyidul-Am Ikhwanul Muslimin yang kelima. Setelah enam tahun memimpin gerakan Islam yang tertua dan terbesar di dunia ini, beliau dipanggil ilahi dengan penuh kemuliaan.
Ustaz Mustafa, 81, dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Saadiyyin, Muhafazah Syarqiyyah, Mesir. Beliau terdidik di dalam suasana keluarga yang berpegang teguh dengan agama.
SERTAI IKHWANUL MUSLIMIN
Al-Marhum menyertai jamaah Ikhwanul Muslimin lapan tahun selepas penubuhannya iaitu pada tahun 1936. Kisah penyertaannya ke dalam jamaah berkenaan agak menarik. Ketika berhijrah ke Kaherah, beliau sering mengunjungi sebuah masjid berhampiran kediamannya. Suatu hari, ketika di masjid, beliau melihat seorang lelaki sedang menyebarkan risalah yang mengiklankan ceramah agama di sebuah masjid.
Atas sifatnya yang sangat cintakan ilmu dan majlis pengajian agama, beliau menghadirkan diri ke majlis berkenaan. Di penghujung pengajian, penceramah berkenaan mengumumkan bahawa seorang tokoh ulamak ternama, Ustaz Hasan Al Banna akan berkunjung ke situ untuk menyampaikan ceramah. Sekali lagi timbul perasaan di hati Ustaz Mustafa untuk menghadiri majlis berkenaan.
Di pendekkan cerita, disebabkan kagum dengan kedua-dua ceramah inilah beliau membuat keputusan untuk menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin.
Ikhwan Muslimin ditubuhkan oleh Mursyidul Amnya yang pertama, Hasan Al Bana empat tahun selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah Turki (1924) iaitu pada tahun 1928. Pengaruh Ikhwan tersebar ke seluruh dunia Arab dan sebahagian negara umat Islam.
Matlamat perjuangan Ikhwan ialah berjuang untuk menegakkan negara Islam tanpa kekerasan. Di samping itu mereka berjuang untuk melakukan perubahan dan pembaikan politik dan ekonomi secara berperingkat. Ikhwan turut mementingkan sudut tarbiyyah bagi memastikan ahli-ahlinya berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.
Pengaruh Ikhwan sangat besar. Bahkan penubuhan jamaah, parti dan gerakan Islam di seluruh dunia adalah rentetan daripada penubuhan Ikhwan. Kini Ikhwan Muslimin menguasai 17 daripada 454 kerusi parlimen Mesir di samping banyak kerusi lain di beberapa negara Arab.
Ustaz Mustafa sangat kagum dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Ikhwan. Daripada sebagai ahli biasa, hinggalah akhirnya dipilih sebagai pemimpin tertinggi. Beliau menjalankan amanah memegang jawatan Mursyidul Am yang disandangnya sejak 1996 hinggalah keadaannya yang sudah tidak berdaya lagi pada 29 Oktober lalu. Sejak itu, jawatan berkenaan dipangku oleh Ustaz Makmun Hudhaibi. Berkemungkinan beliau akan dipilih sebagai Mursyidul Am dalam pemilihan yang akan diadakan beberapa hari lagi.
Makmun, 83, ialah anak kepada Mursyidul Am Kedua selepas Hasan AlBanna, Hasan Hudhaibi (1950-1973). Makmun pernah menjadi ketua hakim di Kaherah serta pernah mengetuai 37 calon Ikhwanul Muslimin menyertai pilihanraya Dewan Rakyat (Parlimen) pada tahun 1973.
UJIAN
Dalam menjalankan amanah jamaah dan amanah agama, Ustaz Mustafa pernah dipenjarakan beberapa kali pada zaman pemerintahan Jamal Abdun Nasir dan kali terakhir ialah pada tahun 1965 hingga 1971 (enam tahun). Sebaik sahaja Anwar Sadat mengambil-alih pemerintahan, beliau memberikan keampunan kepada ramai anggota Ikhwan yang dipenjara. Mustafa termasuk di kalangan mereka yang dibebaskan.
Walaubagaimanapun, Sadat cuba menangkapnya kembali. Untuk menyelamatkan diri, beliau berhijrah ke Kuwait beberapa ketika sebelum operasi penangkapan beramai-ramai dilakukan pada tahun 1971. Beliau kemudian tinggal di Jermen selama lima tahun dan di sana beliau mengatur gerakan menyebarkan pengaruh Ikhwan ke seluruh dunia.
Beliau pulang ke Mesir beberapa ketika sebelum Mursyidul Am ketika itu, Syeikh Umar Tilmisani meninggal dunia. Jawatan Mursyidul Am kemudiannya diambil-alih oleh Syeikh Hamid Abun Nasr dan Mustafa menjadi timbalannya.
Setelah Syeikh Hamid meninggal dunia pada tahun 1996, Syeikh Mustafa Masyhur dilantik sebagai penggantinya. Februari lalu (2002) beliau sekali lagi dipilih untuk meneruskan khidmatnya sebagai Mursyidul Am. Pemilihan tersebut dibuat selepas Ikhwan membuat pindaan tempuh khidmat Mursyidul Am kepada enam tahun.
Ustaz Mustafa turut diundang menyampaikan ceramah di serata dunia. Bahkan ketika permulaan krisis selepas kemenangan mujahidin di Afghanistan, beliau mengetuai delegasi pemimpin-pemimpin gerakan Islam seluruh dunia pergi kek Kabul untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin. Turut serta dalam rombongan berkenaan ialah Al Marhum Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Beberapa tahun lalu, PAS pernah menjemputnya menghadiri satu majlis di Malaysia dan beliau menyatakan persetujuan untuk menghadirkan diri. Malangnya sebelum berlepas ke Malaysia, pasportnya dirampas dan dikoyak.
Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan, Ustaz Mustafa tetap berada di dalam saf perjuangannya dan tidak meninggalkan jamaah sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
KISAH KEMATIAN
Pada 29 Oktober 2002, selepas pulang dari pejabatnya, beliau berehat seketika. Apabila azan Asar dilaungkan, anak perempuannya cuba mengejutkannya daripada tidur. Sebaik terjaga daripada tidur, didapati dirinya begitu tidak bermaya sekali. Beliau diserang sakit yang melibatkan otaknya.
Melihatkan keadaan bapanya, si anak menasihati Ustaz Mustafa supaya menunaikan solat di rumah sahaja. Namun tarbiyyah mantap yang diterimanya menghalang beliau untuk menunaikan sembahyang di tempat selain daripada masjid. Apatah lagi beliau adalah pemimpin tertinggi bagi jamaah Islam yang tertua dan terbesar. Beliau terus mempersiapkan diri dan pergi menunaikan sembahyang di masjid berdekatan kediamannya. Selepas menunaikan sembahyang, beliau sudah tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Orang ramai menghantarkannya ke hospital dan beliau berada di sana selama lebih kurang dua minggu. Pada petang Khamis lalu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Keesokan harinya, orang ramai berkumpul di Masjid Rabaah Adawiyyah di Madinat Nasr untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum beliau dikebumikan. Jalan-jalan sekitar menjadi sesak. Setelah jenazah disembahyangkan, orang ramai berarak menuju ke tanah perkuburan yang terletak 10 km dari masjid berkenaan.
Suasana sepi, sedih dan pilu menyelubungi perjalanan ke tanah perkuburan. Tidak ada sebarang laungan atau slogan-slogan seperti perhimpunan yang biasa di anjurkan oleh Ikhwan. Masing-masing hanya berdoa di dalam hati memohon kesejahteraan ke atas pemimpin yang pergi. Sebahagian daripada mereka mengangkat mashaf Al Quran sebagai lambang kepada syiar perjuangan mereka.
Perarakan yang dianggarkan disertai oleh 20,000 orang itu turut disertai oleh pemimpin-pemimpin politik termasuk ketua Parti Buruh (pembangkang), Ibrahim Shukri. Walau bagaimanapun Al Jazeerah melaporkan bahawa tidak kelihatan seorangpun pemimpin kerajaan dan pemimpin parti yang memerintah, Parti Negara.
Dari Allah kita datang, kepadanya jua kita kembali....
MURSYIDUL AM IKHWANUL MUSLIMIN
1. As Syahid Ustaz Hasan Al Banna (1928)
2. Syeikh Hasan Hudhaibi
3. Syeikh Umar Talmisani
4. Syeikh Hamid Abun Nasr
5. Syeikh Mustafa Masyhur (1996-2002)
6. Syeikh Makmun Hudhabi
7. Dr Mahdi Akef (sekarang)

Oleh: Salman Al Munziri, KAHERAH